“Ayah, tengok tue…itu fakulti kak Long, tempat kak Long belajar….depan tue pulak, perpustakaan yang boleh dikatakan sebagai perpustakaan yang paling besar sekali di Asia, perpustakaan Tun Seri Lanang”, tunjuk si anak pada ayahnya yang kelihatan terjengah-jengah ke luar tingkap melihat apa yang diperkatakan oleh anaknya itu.
“Nie tempat apa pulak, kak Long?”, tanya si ayah yang terpinga-pinga melihat bangunan di sebelah kiri dan kanannya.
“Oh…itu Kolej Ibrahim Yaakob atau dikenali juga dalam kalangan student UKM sebagai Kolej Highlander”, tunjuk si anak di sebelah kirinya. “ Nie pulak, Kolej Ungku Omar”, kata si anak merujuk di sebelah kanannya kepada si ayah.
“Ayah minta maaf, kak Long…ayah malu pulak biler kak long tunjukkan semua tempat nie pada ayah yang mana ayah sendiri tak pernah jejakkan kaki kat tempat nie”, kata si ayah.
“Apa ayah nie…kak Long faham, ayah…kak Long tahu kita bukan orang senang dan kak Long tak pernah jadikan alasan nie sebagai penghalang kepada kak Long untuk membawa keluarga kita kepada kehidupan yang lebih selesa. Kak Long tak pernah malu dengan keluarga kita apatah lagi pekerjaan ayah sebagai penoreh getah malah kak Long bangga sangat mempunyai seorang ayah yang sentiasa memberi kasih sayang, semangat dan nasihat dalam membesarkan kak Long dan adik-adik. Kerana ayah jugalah kak Long mampu berdikari menjalani hidup sebagai mahasiswa sehingga berjaya”, tutur si anak lembut sambil mengelap butiran permata yang mengalir di pipi kedut si ayah.
“Ayah tahu, kali pertama kak Long menjejakkan kaki di bumi UKM nie, kak Long baru terasa betapa kak Long merupakan harapan yang tinggi kepada ayah dan adik-adik apatah lagi biler kak Long melihat kawan-kawan di sekeliling kak Long datang bersama kaum keluarga sedangkan kak Long…kak Long datang bertemankan beg-beg pakaian tanpa ayah dan adik-adik. Waktu itulah kak Long nekad untuk belajar bersungguh-sungguh supaya kak long dapat memberi sinar kepada keluarga kita dan yang paling penting, kak Long nak balas jasa ibu dan ayah yang telah banyak berkorban untuk kami adik beradik walaupun ibu telah pergi meninggalkan kita semua hampir 8 tahun yang lalu”, ujar si anak yang kelihatan senyum di samping si ayah yang sudah mengangguk-anguk kepala sambil membelai kepala si anak.
“Kak Long, terima kasih nak… ayah bangga dengan kak Long. Ayah harap kak Long mampu menjadi contoh kepada adik-adik yang lain”, kata si ayah kepada anaknya sambil mengesat peluput mata anaknya dari terus mengalirkan air matanya.
Aku yang berada dibelakang keluarga ini turut mengalirkan air mata tatkala setiap butir bicara mereka tanpa disengajakan telah kudengari. Mulanya pandanganku tidak terhala kepada mereka tetapi seperti ada sesuatu yang menarik pandangan mataku untuk terpaku pada adegan pasangan si ayah dan anaknya yang mana si anak tanpa jemu menunjukkan segala apa yang ada di UKM ini kepada ayahnya bermula ketika aku menaiki bas UKM dari hentian Komuter sehingga melepasi pintu masuk UKM. Asalnya aku mahu turun di kolejku iaitu Kolej Aminuddin Baki namun niatku tidak menjadi kerana aku merasakan ada sesuatu yang membawa aku untuk terus bersama-sama mencari makna apa yang dipertontonkan di hadapanku ini.
Dari satu tempat ke satu tempat ditunjuk oleh si anak kepada ayahnya yang adakalanya si ayah seperti mengesat matanya yang digenangi air mata. Hatiku begitu tersentuh melihat adegan pasangan ini. Setiap apa yang diperkatakan oleh mereka membuatkan hatiku sebak bahkan rindu…rindu kepada ibubapaku serta adik-beradikku yang menjadi kekuatanku untuk terus hidup tanpa mereka disisiku ketika aku terlantar keseorangan di menara gading ini.
Tiba-tiba, mataku tertancap pada pintu bas yang sedang terbuka…barulah aku sedar bahawa aku kini sudah berada di perhentian terakhir bas iaitu Kolej Pendeta Zaaba. Kelihatan pasangan anak dan ayah itu turut bersama penumpang lain untuk turun…mungkin ini destinasi mereka sedangkan aku…telah terbabas dek mengejar perasaan akan babak yang sedang aku pertontonkan.
Waktu ingin menuruni pintu bas, mataku sekali lagi berair bukan kerana habuk ditingkap tetapi hatiku menjadi sayu tatkala melihat si anak memapah ayahnya yang berjalan tempang untuk bangun menuruni tangga bas berkenaan. Aku yang melihat akan mereka tidak menduga bahawa si ayah yang tersenyum ketika bertanya itu ini kepada anaknya adalah salah seorang insan yang tabah menjalani kehidupan dengan mensyukuri setiap kekurangan dirinya itu. Di bahu kiri si anak pula dapat kulihat beberapa jambak bunga ros beserta teddy bear yang diletakkan di dalam sebuah beg kertas yang tertulis besar Majlis Pesta Konvokesyen UKM Ke-38.
Dari satu tangga ke satu tangga si ayah turun ditemani si anak. Aku yang sekadar menjadi pemerhati mengucap syukur ke hadrat Ilahi kerana aku diberi kesempatan untuk melihat keadaan ini. Bagiku, apa yang aku lihat dan dengar sebenarnya telah membuka mata hatiku untuk bersyukur atas apa yang telah kumiliki kerana ada lagi insan yang lebih tabah menghadapi kehidupan yang serba kekurangan baik dari sudut material mahupun perasaan hati.
Akhirnya, pasangan tersebut selamat sampai ke anak tangga terakhir dan aku….aku juga turut bersama mereka diperhentian tersebut sehingga mereka hilang dari pandanganku. Tika sejenak, apa yang dapat aku simpulkan mengenai pasangan ini ialah mungkin si anak yang begitu tabah dan bersemangat tinggi dalam mencapai cita-citanya untuk mengubah kehidupan mereka sekeluarga begitu gembira kerana akhirnya dia dengan bangganya dapat menghabiskan pengajiannya. Manakala si ayah yang sentiasa tersenyum mungkin sangat berbangga akan anaknya kerana dalam hidup yang serba kekurangan dia mampu tersenyum bangga akan kejayaan yang dinikmati oleh anaknya.
Sesungguhnya, apa yang aku pelajari daripada keluarga ini amat beerti buatku kerana di samping melihat kemesraan antara ayah dan anak, ia juga membawa aku untuk bersyukur dengan segala apa yang telah aku nikmati selama ini. Ia sangat bertepatan dengan Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud;
Akhir kalam…apa yang dapat aku katakan adalah pengorbanan si ayah terhadap keluarganya amat besar dan ini membuatkan diriku amat bersyukur dan berterima kasih khasnya buat abah dan mak yang banyak memberi didikan serta tunjuk ajar dalam kami meniti arus kehidupan ini. Juga apa yang dapat aku titipkan….aku berbangga dengan si anak terhadap keluarganya yang bersemangat jitu serta tabah menempuhi segala onak untuk mencapai kejayaan dan aku berharap agar diriku juga sepertinya yang dapat menggembirakan keluargaku kelak…amin!!!
“Ya Allah, ampunilah aku dan ampunilah kedua ibubapaku dan cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan